Dengan tawaran kadar faedah yang rendah, rebat RM5,000 bagi penukaran kereta lama dengan kereta baru Proton / Perodua dan pelbagai lagi hadiah menarik yang ditawar oleh penjual seperti Astro etc, adakah mendapatkan kereta baru suatu tindakan yang patut dibuat sekarang?
Ini semua terpulang pada anda. Antara faktor yang patut dipertimbangkan:
1) Ukur baju di badan sendiri.
Untuk membeli mesti mengikut kemampuan. Bagaimana mengira kadar kemampuan anda? Langkah pertama kira Nisbah Hutang anda. Jika nisbah hutang di kadar yang selamat, pembelian kereta adalah wajar.
Kesilapan yang dibuat oleh sesetengah individu ialah hanya mengira kadar bayaran bulanan. Mereka tidak mengambil kira kos berkaitan apabila membeli kereta baru. Sebagai contoh, insuran kenderaan, cukai jalan, kos pembaikan dan penyelenggaran kereta. Malang tidak berbau. Bayangkan jika kita tidak mempunyai dana kecemasan untuk menampung kos pembaikan yang tidak dijangka ini, ini boleh menyebabkan individu tersebut terdesak untuk menggunakan Kad Kredit. Penggunaan Kad Kredit juga tidak salah jika dapat dibayar sebelum tarikh due. Cuma yang menjadi masalah jika hutang itu berganda-ganda dan anda tidak mampu membayarnya.
2) Tentukaan keutamaan dari pendapatan anda
Walaupun pendapatan Mr A dengan Mr B adalah sama sebagai contoh RM5,000. Namun keutamaan mereka mungkin berbeza. Jika Mr A lebih mengutamakan simpanan bagi Dana Pendidikan anak, tidak mungkin beliau sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk kereta. Jadi, tentukan apakah keutamaan perbelanjaan anda! Rangka bajet bulanan untuk memastikan simpanan tetap ada di samping bayaran hutang-hutang tersebut.
3) Matlamat pembelian kereta
Matlamat pembelian kereta juga berbeza mengikut keperluan anda. Sebagai contoh, kereta untuk ke pejabat memerlukan kereta yang ekonomi dan reliable. Kereta untuk perniagaan mungkin perlu nampak lebih mewah dan kereta untuk keluarga besar memerlukan lebih banyak ruang.
4) Tempoh pinjaman kereta
Pakej pinjaman yang panjang memberikan satu bayaran yang mampu dibayar oleh peminjam. Walaubagaimanapun, cuba elakkan untuk membuat hutang terlalu lama. Yang paling disyorkan adalah selama 5 tahun. Lebih lama tempoh berhutang, lebih banyak yang anda bayar kepada bank kerana pengiraan adalah berdasarkan tahun (kadar faedah X tempoh pinjaman) dan bukan berdasarkan baki (reducing balance). Pinjaman kereta adalah berbeza dengan pinjaman rumah. Jadi, bila anda telah memutuskan untuk berhutang selama 9 tahun, anda tetap tidak boleh membayar satu jumlah yang besar ( lump sum) untuk mengurangkan kadar faedah.
Lagi lama berhutang, lagi banyak yang anda bayar. Contoh yang diberikan dalam artikel ini ialah:
Anda membeli kereta berharga RM30,000 selama 9 tahun pada kadar faedah 3.88%. Bayaran bulanan RM375. Jumlah faedah selama 9 tahun: RM10,476. Selepas 5 tahun, kereta anda telah susut nilai sehingga separuh, iaitu RM15,000, tetapi anda masih berhutang dengan bank sebanyak RM18,000 (RM375 X 4 tahun X 12 bulan)
Bagaimana jika kereta hilang? Pihak insuran hanya membayar kereta pada harga pasaran dan anda masih perlu membayar baki hutang kereta tersebut.
No comments:
Post a Comment