Wednesday, November 18, 2009

Menetapkan Bajet

Selepas memahami hubungan anda dengan duit dalam artikel pertama, mari kita buat satu perancangan kewangan yang mudah tetapi efektif, atau dalam dunia kewangan ia lebih dikenali sebagai Bajet. Topik ini mungkin sudah banyak ditulis sebelum ini tetapi ia amat penting ditekankan sekali lagi di sini kerana tidak ramai rakyat Malaysia yang memilikinya.
Apa itu Bajet?
Bajet hanyalah satu pelan perbelanjaan anda (ha, seronok bukan?). Ya, kebanyakan kita suka berbelanja tetapi tidak ramai yang dapat mengawal perbelanjaan mereka. Bajet adalah satu cara untuk mengimbangi duit yang anda miliki dengan duit yang anda belanjakan. Anda membuat satu perancangan dengan membuat pilihan. Anda putuskan pada apa yang anda akan belanjakan, berapa banyak yang akan dibelanjakan dan berapa banyak yang anda akan simpan.
Pelan anda berdasarkan pada pendapatan dan perbelanjaan. Pendapatan ialah duit yang masuk ke dalam poket anda. Perbelanjaan ialah perkara yang mengambil duit dari poket anda. Oleh kerana pendapatan setiap orang berbeza, pelan anda perlu padan dengan situasi anda (atau poket anda!). Bajet anda diasaskan kepada Matlamat, Keperluan dan Kehendak.
Mari kita lihat beberapa contoh:

MATLAMAT
KEPERLUAN
KEHENDAK
Memiliki sebuah Kereta
Memiliki sebuah Rumah
Berkahwin
Perniagaan sendiri
Memberikan pendidikan yang baik untuk anak
Pencen dengan selesa
Bersedekah
Makan Minum
Tempat Tinggal
Pakaian
Masa berkualiti dengan keluarga
Kereta/Motosikal
Telefon mudah alih
Komputer
Makan malam yang mewah
Banglo seperti-rumah peranginan
Pakaian mahal berjenama
Percutian mahal
Kereta mewah
Telefon canggih yang terkini
Komputer yang tercanggih
Dan lain-lain lagi...

Seperti yang anda boleh lihat di atas, kadang kala sukar untuk membezakan antara Keperluan dan Kehendak. Semakin lama, keperluan asas kita mungkin berkembang lebih daripada makan dan minum, tempat tinggal dan pakaian. Seorang juru jual mungkin akan melakukan kerjanya dengan lebih efektif dengan sebuah kereta (melainkan sistem pengangkutan awam kita amat efisien!). Pada zaman IT masa kini, telefon mudah alih adalah praktikal dan penting (malah murid sekolah juga berpendapat begitu!), begitu juga dengan komputer. Namun, terdapat kereta yang berharga RM30,000+, sementara ada juga yang RM300,000+; telefon mudah alih yang berharga RM100+ dan yang lain berharga RM1,000+ dan komputer yang berharga RM1,000+, sementara yang lain sehingga RM10,000+!
Kita cuma Perlu beberapa perkara tetapi Kehendak kita tiada penghujungnya! Sukarkah untuk membezakannya sekarang???
Mengapa Saya Perlu Ada Bajet?
Sesiapa yang ada pendapatan dan perbelanjaan, perlukan bajet. Perancangan boleh membantu anda menggunakan duit untuk mencapai matlamat anda. Anda boleh mempelajari dan melatih kemahiran yang diperlukan untuk membuat bajet. Pelan kewangan ini akan membantu anda mengawal kewangan anda. Anda dapat mengelak daripada masalah kewangan dan capai matlamat anda dengan lebih mudah.
Bagaimana Saya Boleh Mula Buat Bajet?
Untuk membuat satu perancangan kewangan, senaraikan Pendapatan dan Perbelanjaan Tetap anda, iaitu perbelanjaan yang tidak berubah dari bulan ke bulan, seperti sewa rumah, ansuran rumah dan kereta atau premium insuran. Perbelanjaan yang lain adalah Pemboleh Ubah, iaitu berubah-ubah dari bulan ke bulan, seperti bil air dan elektrik, pakaian atau hiburan.
Kemudian, anda perlu tahu bagaimana anda membelanjakan duit anda sekarang. Anda boleh buat begini dengan menulis apa yang anda beli dan berapa yang anda belanjakan. Ini akan mengambil masa dan usaha tetapi ia bermanafaat kerana, ia akan membantu anda melihat ke mana anda membelanjakan duit anda. Jangan terlalu terkejut dengan apa yang anda pelajari tentang diri anda dan duit anda!
Untuk 30 hari seterusnya, setiap kali anda berbelanja, catatkannya dalam buku perancangan (gunakan Excel spreadsheet, jika anda pandai teknologi), berapa yang anda belanja dan ke mana anda membelanjanya. Apabila anda membayar bil, mengisi minyak kenderaan, pergi menonton wayang, bersedekah/membayar zakat, malah membeli nasi lemak kegemaran anda daripada gerai makcik depan rumah anda, semuanya perlu dicatat.
Di hujung bulan, gunakan kalkulator untuk jumlahkan setiap kolum di bawah carta agar dapat lihat berapa banyak duit yang anda telah belanjakan dalam setiap kolum. Kemudian, jumlahkan semua kolum untuk melihat berapa banyak duit yang anda belanjakan dalam sebulan secara purata. Babitkan anak-anak anda juga kerana latihan ini bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran matematik mereka tetapi, ia juga mendedahkan kepada mereka tentang konsep berbajet (namun satu amaran: mereka akan tahu bila masa yang terbaik untuk meminta permainan baru mereka!).
Bagaimana Saya Hendak Memutuskan Di Mana Untuk Berbelanja?
Dengan melihat semula spreadsheet/carta anda yang sudah siap, anda dapat melihat ke mana duit anda dibelanjakan. Membincangkan carta anda dengan kauselor atau dengan seorang yang anda kenal, yang mengurus duit dengan baik, adalah tindakan yang bijak.
Sebahagian besar duit anda digunakan untuk keperluan asas seperti makanan, rumah dan pakaian. Semua ini adalah keperluan dan anda akan sentiasa membelanjakan duit padanya untuk hidup tetapi anda boleh memilih berapa banyak yang perlu dibelanjakan. Perbelanjaan lain mungkin termasuk, membeli pakaian baru, pinggan mangkuk baru atau permainan baru untuk anak-anak anda. Ini pula adalah kehendak. Walaupun anda mungkin gemar membelanjakan duit cara ini, sebenarnya anda boleh hidup tanpanya.
Soalan berikut mungkin dapat membantu anda membuat keputusan tentang perkara yang perlu dilakukan:
  • Perbelanjaan manakah yang tidak boleh dipotong?
  • Berapakah perbelanjaan minimum yang saya perlukan untuk hidup?
  • Perbelanjaan yang mana satu ialah Keperluan dan yang mana satu ialah Kehendak?
  • Apakah yang akan berlaku jika saya menangguhkan beberapa perbelanjaan?
  • Bolehkah saya membeli barang pengganti yang lebih murah?
Sekarang, setelah anda mengkaji carta anda dan membincangkan soalan di atas, anda sudah bersedia untuk membuat bajet peribadi anda. Catatkan berapa banyak duit yang anda perlukan untuk setiap jenis perbelanjaan dalam sebulan. Sebagai contoh: RM300 untuk makan minum, RM100 untuk pengangkutan, RM50 untuk simpanan dan sebagainya.
Cuba tetapkan matlamat jangka pendek dan matlamat jangka panjang. Sebagai contoh matlamat jangka pendek: hadkan duit untuk makan minum kepada RM10 sehari, naik bas/LRT daripada memandu ke tempat kerja dan baca surat akhbar (jiran anda) untuk mencari hiburan keluarga secara percuma. Contoh matlamat jangka panjang: simpan RM1,000 untuk membeli peti sejuk baru (model yang jimat tenaga dan mesra alam adalah ideal!), melangsaikan hutang atau mungkin berpindah ke kawasan perumahan baru (atau setengah orang mungkin berkata, balik kampung!)
Bagaimana Saya Dapat Mematuhi Bajet?
Ini adalah bahagian yang mencabar! Ia akan memerlukan latihan dan disiplin diri untuk mematuhi bajet anda. Hanya anda seorang saja yang boleh mematuhi perancangan anda. Di sini ada beberapa cadangan yang boleh membantu anda terus mematahi bajet anda:
  • Bayar bil yang diperlukan terlebih dahulu. Jika boleh, cuba aturkan supaya bil-bil anda tidak perlu dibayar serentak pada hari yang sama.
  • Simpan duit setiap bulan, tidak kira berapa jumlahnya. Anda cuma mahu jadikan ia tabiat.
  • Buat satu senarai sebelum anda pergi membeli-belah. Semasa anda membeli-belah, ingat perbezaan antara keperluan dan kehendak.
  • Buat perancangan terlebih dahulu dan beli barangan ketika ada jualan murah. Membeli-belah di kedai diskaun dan pasar lambak. Kongsi barangan yang boleh digunakan semula dengan keluarga dan rakan.
  • Jauhi daripada kedai atau tempat yang membazirkan duit anda!
  • Pelajari cara-cara menyimpan duit daripada keluarga dan rakan, dan patuhi satu pelan.
  • Rekodkan apa yang anda belanja dan berapa perbelanjaan anda. Jadikannya mudah dan senang untuk dibuat. (Tip: mungkin “buku kecil 555” amat berguna!)
  • Bandingkan rekod ini dengan perancangan kewangan yang anda telah tulis supaya anda boleh lihat jika anda telah mematuhinya.
Bilakah Perlu Saya Ubah Bajet Saya?
Jangan panik atau kecewa jika anda tidak dapat mengikut bajet anda sepenuhnya. Ia mengambil masa dan memerlukan latihan untuk mengubah sebarang tingkah-laku, lebih-lebih lagi tabiat berbelanja! Anda mungkin perlu mengubah bajet anda mengikut perubahan keperluan anda dan keluarga anda. Jika pendapatan anda bertambah atau berkurangan, anda perlu mengubahnya. Yang penting anda mempunyai satu pelan dan anda dapat mengurus kewangan anda.
Akhir sekali, sentiasa ingat untuk Mengamalkan Pengurusan Kewangan Berhemah Sebagai Budaya Hidup”

No comments:

Post a Comment