Monday, January 18, 2010

Kenapa Usaha Berjimat Selalu Gagal ?


1) Anda tidak betul-betul faham kenapa perlu berjimat

Penjimatan itu penting jika anda fikir-fikirkan. Semangat untuk berjimat anda memang tinggi namun anda juga tidak faham kenapa anda perlu berjimat. Bagi saya, saya akan melakukan penjimatan atas beberapa sebab.

Pertama, bagi menambah jumlah tabungan simpanan. Simpanan ini penting kerana bukan sahaja boleh digunakan untuk hari kemudian malah jika berlaku apa-apa kecemasan dalam kehidupan, simpanan inilah yang akan membantu. AKPK menasihatkan supaya mempunyai sekurang-kurangnya simpanan sebanyak 6 bulan perbelanjaan bagi menghadapi saat kecemasan.

Kedua, kumpul wang untuk memperolehi sesuatu. Contohnya katakan pada bulan Disember setiap tahun anda bercadang untuk membawa keluarga anda pergi bercuti. Jadi dari awal tahun bulan Januari anda mengambil langkah penjimatan sedikit demi sedikit sehinggalah saat anda pergi bercuti.

Ketiga, dari wang penjimatan tersebut anda mampu melakukan pelaburan sedikit demi sedikit. Ianya bukan setakat boleh menambah pelaburan ASB anda malah pelaburan untuk diri anda dengan mempelajari ilmu-ilmu menjana wang melalui buku-buku mahupun bengkel-bengkel.

Ini adalah antara tiga sebab utama namun terdapat juga sebab-sebab lain yang boleh anda fikirkan atas kenapa anda berjimat.

2) Tidak mempunyai matlamat

Setiap perkara yang ingin dilakukan dalam kehidupan ini harus ada matlamat jika tidak usaha atas perkara tersebut tidak akan kemana-mana dan jadi sia-sia. Begitu juga dengan usaha penjimatan anda. Anda harus ada matlamat namun matlamat anda harus realistik. Maksudnya katakan pendapatan bulanan anda RM2000.00 dan anda ingin membuat penjimatan sebanyak RM1500.00 sebulan maka ini sudah tentu tidak munasabah. Ya anda tidak boleh jadi kaya dengan berjimat namun berjimat mampu membantu menenangkan hati anda ketika anda memerlukan bantuan.

Jika anda lihat semula kenapa anda berjimat maka anda akan ada matlamat penjimatan anda. Dengan matlamat anda akan ada perancangan anda untuk berjimat. Berapa jumlah yang perlu anda jimat (secara realistik)? Berapa lama untuk mendapatkan nilai penjimatan tersebut? Catatkan apa matlamat penjimatan anda dan buat perancangan untuk mencapai matlamat tersebut. Ingat matlamat anda harus realistik dimana anda harus lihat jumlah pendapatan anda sendiri.

3) Kebanyakkan tip penjimatan yang anda ketahui tidak munasabah

Walaupun anda telah faham atas sebab apa anda perlu berjimat, dan anda telah memasang matlamat anda namun anda masih mempunyai masalah dalam perlaksanaan penjimatan anda. Kebanyakkan ilmu serta tip penjimatan adalah sesuatu yang tidak realisitik untuk anda lakukan. Saya pasti jika saya beritahu anda saya ada beberapa tip bagaimana anda boleh menjimatkan wang sudah tentu anda akan beritahu saya,

"Ala Razif… aku dah beli dah macam-macam buku pasal jimat wang ni… tak de satu pun yang boleh pakai. Ada ke buku tu suruh aku jangan pergi sana, jangan pergi sini, jangan beli itu dan jangan beli ini. Tak kan aku dan keluarga aku terpaksa terperap di rumah sahaja dan tak boleh beli apa-apa. Realistik lah sikit…."

Bila difikir balik betul juga kata-kata tersebut. Contohnya pergi bercuti bersama keluarga, ini adalah aktiviti yang penting untuk dilakukan. Disamping mampu mengeratkan perhubungan kekeluargaan ia juga mampu mengembalikan semangat dan kecergasan badan dan minda untuk bekerja dengan lebih baik lagi. Oleh itu tanpa teknik-teknik yang munasabah untuk dilakukan segala matlamat dan usaha akan jadi sia-sia juga.

4) Tidak tahu teknik yang betul untuk berjimat

Apakah yang dimaksudkan dengan teknik yang betul di sini. Teknik penjimatan yang betul adalah teknik penjimatan yang mampu mencapai matlamat penjimatan anda. Yang benar-benar menghasilkan wang bagi anda. Tanpa teknik yang betul sekali lagi usaha anda akan jadi sia-sia belaka.

5) Terpaksa ubah cara hidup seharian secara drastik

Manusia memang sukar untuk mengubah kebiasaan dalam hidup mereka. Seringkali yang terjadi apabila suatu perubahan yang ingin dilakukan ianya tidak kekal lama dan akan kembali kepada amalan asal. Inilah juga yang berlaku pada mereka yang cuba melakukan penjimatan mengikut teknik-teknik yang mengarahkan mereka ubah cara hidup secara mendadak. Ya, tidak dinafikan untuk berjaya perubahan diri kepada kebaikan haruslah ada perubahan namun perubahan secara mendadak akan menyebabkan segala usaha penjimatan gagal!

6) Anda tidak mampu disiplinkan diri anda akibat sering gagal

Disiplin diri merupakan perkara terpenting dalam usaha anda melakukan penjimatan. Namun bagaimana anda mampu disiplinkan diri anda jika usaha penjimatan anda tersebut seringkali menemui kegagalan. Untuk itu anda perlukan satu panduan penjimatan sebenar, bukan setakat panduan tetapi panduan yang boleh membawa anda ke satu jalan penjimatan yang benar-benar berkesan dan yang penting ianya realistik untuk dilakukan.

No comments:

Post a Comment