Manusia tidak sempurna. Kalau kita sempurna, kita tidak perlukan orang lain.
Dalam Islam, ada kontrak musaqah. Ahmad pandai bercucuk tanam. Semua buah, sayur hidup subur bila dia yang tanam. Tapi masalahnya, Ahmad tidak pandai menjual. Maka Ali yang ada entrepreneurial skill boleh bekerjasama untuk jualkan hasil tanaman Ahmad. Bukan semua orang pandai menjual. Dan bukan semua orang pandai tanam buah dan sayur.
Semua orang maklum masalah tidak cukup duit.
Tetapi ramai yang tidak berapa pasti apakah masalah “terlebih” duit. Tempoh hari, saya ada sebut pasal masalah duit bonus.
Berikut adalah contoh masalah terlebih duit yang lain:
1. Gaji naik satu kali ganda dan berganda-ganda.
2. Bisnes berkembang terlalu cepat.
3. Menang judi.
4. Dapat loteri.
5. Dapat harta pusaka
6. Dapat harta sepencarian
7. Merompak, mencuri, makan rasuah
8. Jadi selebriti paling popular
9. Jadi sportstar yang paling hebat
10. Sentiasa jadi golongan terawal dalam skim cepat kaya
Sekiranya anda tergolong dalam kategori di atas, maka anda sebenarnya memerlukan penasihat kewangan yang bagus. Yang paling penting anda tahu perkara asas. Apa itu simpanan, perlindungan, pelaburan dan penyucian harta.
Anda perlu jumpa seseorang yang boleh menguruskan lebihan duit anda.
Sebab itu juga dalam Islam ada kontrak mudharabah. Ada orang diberikan rezeki duit tunai yang terlebih-lebih, tetapi dia tidak ada kepandaian dalam menguruskan pelaburannya sendiri. Jadi, dia boleh upah orang lain untuk melabur untuk pihaknya.
Jadi, pengurusan kewangan bukanlah persoalan nak dapat duit lebih semata-mata.
Ia bermula dari macam mana nak dapat RM 1, mengekalkan RM 1, menambah RM 1 menjadi RM 1.10, membuat penyucian terhadap RM 1.10 tersebut dan juga sekiranya anda mati nanti, macam mana waris-waris anda boleh mendapat bahagian mereka ?
Maka jangan fikir bila anda tidak cukup duit, masalah anda akan selesai dengan adanya sejumlah duit yang banyak. Malah tidak mustahil anda mencipta masalah yang lebih teruk sekiranya anda mendapat duit tersebut dalam keadaan tidak bersedia.
-Pakdi
No comments:
Post a Comment